Wednesday, March 23, 2011


CINTA: SUATU PANDANGAN

Cinta di dalam Islam sebenarnya tiada hubungan romantik atau caring atas alasan jika benar pencinta yang memahami corak Islam lebih ke arah menulis peringatan Allah yang senantiasa takutkan kemurkaan Allah di dalam konteks cara perhubungan walaupun mungkin tidak pernah berdating. Malah orang yang bercinta di dalam bentuk syariat Islam takut untuk berhubungan secara menulis kerana was-was dengan keupayaan menahan bentuk luahan hati yang akan menimbulkan zina hati.

Malah orang yang benar-benar beriman takut untuk berhubungan melalui telefon atau kaedah bercakap yang penuh lemah-lembut dalam bentuk hubungan lain seperti chat atau sms kerana biasanya kekerapan hubungan percakapan lebih ke arah tidak tertapis dan bisa menggoda keimanan dengan rasa rindu dengan suara dan gurauan sehingga akhirnya membuat tautan rasa cinta asmaradana bermula kecuali bagi mereka yang benar-benar tidak ada masalah hati, itu pun boleh menjadi satu bentuk perhubungan awalan jika tidak disekat.

Semakin kerap berhubung akan menjadikan semakin rapat perhubungan dan tanpa mengimbangkan kewarasan akal akan lebih mementingkan perasaan dan nafsu akhirnya akan menjerumuskan kepada kefahaman itulah cinta yang sebenarnya. Atas dasar apa rasa rindu yang amat sangat? Sedangkan hakikat rindu yang sebenar adalah rindukan Allah. Orang yang beriman dapat menangkis ketahanan rindu apabila asas cinta benar-benar berlandaskan iman.

Bukankah dalam Islam sendiri sudah menggaris pandu corak meminang wanita, tetapi anak-anak muda dewasa ini lebih suka kepada bercinta dan mencari cinta serta mencari masalah di dalam konteks perhubungan cinta yang akhirnya akan terjebak di dalam lautan cinta yang memabukkan. Cinta berasaskan Islam adalah cintakan kebaikan, keimanan dan keutuhan pendirian kerana ia adalah asas kepada tiang pengukuhan iman di masa hadapan. Malah cinta di dalam Islam lebih ke arah rasa hormat, malu dengan kewarakan responden kerana itulah cinta hakiki yang tidak boleh dijual beli. Malah malu untuk berkata-kata di sebalik kata-kata yang tidak sepatutnya.

Apabila individu itu benar-benar mencintai seseorang itu atas sifat-sifat di dalam diri respondennya, ia lebih ke arah sifat mengagumi untuk memilikinya tanpa syak dan was-was akan kebaikan, keimanannya dan keutuhan pendirian responden. Jika ia benar-benar memahami konteks iman dalam percintaan yang terbina di dalam dirinya, daya tarikan ke arah cabaran cinta luaran murahan yang mendatang tidak akan mampu menembusinya. Maka tidak ada dua tiga ke atau empat sikap jatuh cinta di dalam satu masa.

Malah, masalah sama ada sayang atau tidak sayang tidak timbul kerana asas cinta sebenar ialah keupayaan untuk sama-sama menggembleng meningkatkan iman andai kata terbina ikatan yang di akhiri ukhuwah di dalam percintaan iaitu ikatan rumah tangga. Cinta berasaskan Islam dan syariat lebih ke arah memupuk ukhuwah Islamiyyah dalam pemantapan jasmani dan rohani. Itulah cinta yang sebenar di dalam Islam. Bukan seperti sebahagian dari anak-anak muda yang tidak memahami konteks percintaan hakiki yang mana terlalu mudah jatuh cinta dengan hanya sekali pandang, dan juga dengan hanya tautan kata -kata.

Sememangnya tidak dinafikan kuasa cinta benar-benar dapat menguasai respondennya. Ada yang berubah sikap dengan rangsangan cinta. Sebagai contoh ada yang semakin beriman, semakin baik dan semakin terdidik kerana nasihat dan peringatan oleh orang yang dicintainya. Tetapi adakah rangsangan itu akan terus berkekalan andai kata cinta berpaling arah atau tidak menjadi. Inilah yang dibimbangkan kerana rangsangan cinta murahan hanya satu kepura-puraan yang tidak berkekalan atas asas tujuan untuk memikat hati. Ada yang jadi baik dan bercakap yang baik-baik di depan orang yang dicintainya. Maklumlah orang yang dicintai itu seorang yang beriman. Tetapi bila bercakap dengan kawan-kawan lain mulalah membebel entah apa-apa kerana tiada asas malu.

Dalam konteks perhubungan cinta sesama Islam, jika kita ingin memulakan ikatan cinta itu berasaskan cinta yang penuh didikan iman, perhatikan muamalat responden agar tidak tersalah jatuh di dalam jerat percintaan yang tidak patut. Hal ini kerana permasalahan tersebut lebih ke arah mengheret pasangan tersebut terhadap masalah baru. Mungkin akan menjatuhkan ke lembah hina seperti yang terjadi di dalam kes Nur Aisyah Bukhari, salah seorang genius Malaysia suatu ketika dulu. Semuanya bermula daripada kesilapan Nur Aisyah sendiri yakni tidak memerhati, memikir baik-baik dan memutuskan apa yang di cintainya itu layak atau tidak untuk dicintai. Sungguhpun di katakan Nur Aisyah sudah terdidik sebelum ini, akan tetapi iman yang sebenarnya adalah daripada asas pendekatan dirinya sendiri. Ilmu yang dipelajarinya sekiranya tidak diamalkan akan menjadi perosak di dalam dirinya. Oleh sebab itulah, hal yang buruk berlaku ke atas diri Nur Aisyah.

Begitu juga dengan remaja (khususnya perempuan), apabila seorang pemuda menyampaikan hasrat cintanya, jangan mudah terusik hati. Perhatikan agamanya, kebaikannya dan segalanya sejak dia belum mengenali kita. Maksudnya adalah sifat asalnya dan muamalat asalnya, kerana jika kita mudah membenarkan hati dilalui, ia hanya akan membuka peluang kepada ke arah ketidakfahaman konsep cinta berasaskan Islam. Uji mereka dulu dengan corak akhlak dan pergaulan iaitu jangan membenarkan kita dirapati oleh perasaan mereka agar menimbulkan keraguan dan was-was yang kita tidak menerima cinta mereka. Ini tidak, anak-anak gadis dan pemuda suka melayan dan melayan dan akhirnya terbuai kata-kata asmara yang terbina sendiri dan menimbulkan kerosakan hati di dalam hati mereka sendiri. Biarlah di katakan diri kita ego tetapi ego untuk kebaikan iaitu menjaga diri untuk mengimbangi antara kewarasan akal dan iman yang akan menjadi benteng dan senjata melumpuhkan pihak lawan.

Bagi perempuan mahupun lelaki yang beriman mempunyai sifat yang konkrit di dalam pendirian mahupun akhlak. Bukankah akhlak yang cantik terbina daripada didikan hati naluri iman yang cantik? Bagi yang memahami dan mengerti apa itu iman, dia tidak ragu-ragu untuk terus memiliki perempuan itu dengan jalan terbaik. Apakah jalan terbaik tersebut? Tentulah sekali dengan meminang wanita itu. Sebab wanita itu bukan calang-calang imannya. Tentulah terfikir di hati mereka "Akulah yang paling bertuah andai kata aku berupaya memiliki wanita yang paling payah untuk dikuasai kerana apabila diberinya cintanya pada aku, akulah orang yang paling agung dan terhormat di atas pemberiannya itu dengan cara yang diizinkan dan dihalalkan oleh Islam dan Allah Ta`ala"

Oleh itu, kata-kata bidalan "berkawan biar beribu bercinta biar satu" tidak begitu tepat di dalam konteks Islam dan patut ditambah "bercinta biarlah untuk teman di akhirat yang dihalalkan oleh Islam" disebabkan faktor-faktor semua panahan cinta di atas konsep berkawan adalah tidak tepat dan bercanggah di dalam konteks perhubungan dalam Islam kerana hal ini akan menjatuhkan kita ke arah perhubungan dalam suasana fitnah.

Hanya Jauhari sahaja yang mengenal manikamnya yakni hanya orang-orang yang beriman akan menghargai dan mengagungkan keimanan orang yang patut dicintainya kerana hanya orang yang baik-baik sahaja yang inginkan sesuatu yang baik. Di situ sudah menampakkan penilaiannya di mana jodoh yang baik adalah untuk orang yang baik dan begitulah sebaliknya. Senario ini kerana orang yang tidak baik tidak menyanggupi untuk hidup bersama dengan orang yang baik kecuali dalam dirinya itu adalah mempunyai zat yang baik juga.



No comments:

Post a Comment